Zul Ariffin muat naik kandungan sumbang, didenda RM30,000

Pelakon popular, Zul Ariffin didenda RM30,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan memuat naik kandungan bersifat sumbang dalam media sosial pada Mac lalu.


Zul Ariffin atau nama sebenarnya, Zulkifli Ariffin, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Noorhisham Mohd Jaafar.

Mengikut kertas pertuduhan, Zul Ariffin dengan menggunakan Instagram 'zul_ariffin' secara sedar membuat dan memulakan penghantara video yang bersifat sumbang dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada 18 Mac lalu.

Pertuduhan ke atasnya dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.

Pasukan pendakwaan terdiri daripada Timbalan Pendakwa Raya, Fazril Sani Mohamed Fadzil dan Timbalan Pendakwa MCMC, Mai Zairani Zainal Abidin, manakala Zul Ariffin diwakili peguam, P Sivaran dan M Saresh.

Pada prosiding yang dijalankan, Saresh memohon agar anak guamnya diberikan hukuman yang minimum memandangkan pelakon itu menanggung dua ahli keluarga iaitu bapa berusia 74 tahun serta seorang kakak berusia 48 tahun selain kesalahan ini adalah kali pertama dilakukan.

Menurut Saresh, anak guam juga sudah mengaku bersalah selain berasa kesal dengan tindakan memuat naik video berkenaan dan insiden itu secara langsung memberi kesan mental kepada diri anak guam serta keluarganya.

Bagaimanapun, Fazril Sani dalam hujahannya meminta tertuduh dikenakan hukuman yang setimpal dengan kesalahan agar menjadi pengajaran kepada orang ramai untuk tidak melakukan kesalahan yang sama selain mencerminkan ketelusan parlimen dan undang-undang dalam menguat kuasakan Seksyen 233 AKMM 1998.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan denda seperti yang ditetapkan pihak mahkamah, hari ini.

Terdahulu, Zul yang memakai sut kelabu gelap serta pelitup muka itu tiba pada jam 8.10 pagi dengan menaiki Toyota Vellfire dengan diiringi ahli keluarga, dua peguam dan rakan penerbit, Gayatri Su-lin Pillai.

Pelakon itu menimbulkan kontroversi apabila berkongsi video babak panas bersama seorang pelakon wanita sebagai promosi sebuah drama bersiri di Instagram, baru-baru ini.

Tindakan Zul memuat naik 'teaser' sebuah drama bersiri itu mengundang kecaman warga maya selain turut mendapat perhatian Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Berikutan itu, pelakon filem Sangkar itu bertindak memadam video berkenaan selain tampil membuat permohonan maaf di Instagram Story.

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post