Hael, Nadhir & Qasrina Bersatu dalam My Famous Ex-Boyfriend

Qasrina Karim, Hael Husaini, Nadhir Nasar disatukan dalam drama terbaru yang diadaptasi daripada novel popular bertajuk Petrichor. Gabungan trio ini akan dipertemukan di slot MegaDrama berjudul, My Famous Ex-Boyfriend yang ditayangkan di Astro Ria.

My Famous Ex-Boyfriend merupakan drama yang menggambarkan kesan buruk buli siber iaitu salah satu isu sosial kerap berlaku dalam kalangan masyarakat kita terutamanya golongan muda dikenali sebagai ‘digital natives’.

Menurut Ketua Saluran Astro Ria, Norzeha Mohd Salleh, naratif drama ini mempertengahkan tekanan yang dihadapi mangsa siber buli terutamanya orang muda.

“Isu sosial semasa seperti buli siber ini lebih banyak berlaku pada zaman sekarang di mana rakyat malaysia lebih selesa meluahkan semuanya di sosial media berbanding secara bersemuka.

“Lantas drama rantaian ini amat relevan untuk penonton-penonton bahkan masyarakat umum yang berkemungkinan terkesan dengan isu yang dipaparkan. Ini juga merupakan satu langkah untuk menyebarkan kesedaran tentang buli siber dan dikuatkan dengan pemilihan barisan pelakonnya yang datang daripada latar belakang yang berbeza.

“Selain itu, plot utamanya yang menerokai first love ketika di usia remaja serta perasaan suka duka yang dirasai selepas itu merupakan satu genre yang mempunyai daya tarikan tersendiri. Penceritaan sebegini amatlah popular di mana-mana sahaja. Lebih-lebih lagi dengan gandingan baharu Qasrina Karim dan Hael Husaini.

“Kami berharap para penonton terhibur dengan penceritaan setiap watak sekaligus mengambil ikhtibar daripada pengajaran-pengajaran yang terselit”, katanya.

Drama arahan Hadith Omar ini dibintangi oleh barisan pelakon dan penyanyi terkenal tempatan seperti Qasrina Karim, Hael Husaini, Nadhir Nasar dan juga pempengaruh, Cupcake Aishah. Drama ini juga merupakan drama pertama lakonan Hael Husaini.

Drama rantaian ini mengisahkan kehidupan Sameera (Qasrina) yang bertemu dengan Ishaak (Hael) ketika remaja dan saling jatuh cinta sebelum Ishaak ditawarkan untuk menjadi seorang artis popular dengan nama Haque Zuhal.

Populariti Haque mengakibatkan keretakan hubungan mereka sehingga membuat kehidupan Sameera penuh dengan cabaran dan rintangan yang diterima oleh pengikut-pengikut sosial media.

Sukar buat Sameera untuk melupakan cinta pertamanya sehingga dia bertemu dengan Jamie (Nadhir) yang berkongsi peristiwa silam yang sama

My Famous Ex-Boyfriend yang bermula pada 23 Oktober, boleh ditonton pada setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam di Astro Ria (saluran 104). Rancangan ini turut boleh distrim menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO.

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post